BAHASA MALAYSIA LANGUAGE DIVISION | Events


Laporan Konferensi Guru-guru Pelayanan Kanak-kanak AG Sabah

Tarikh: 7-9 Disember 2016
Tempat : Baptist Retreat Center, Inanam Sabah

Konferensi ini adalah julung kalinya diadakan oleh komiti Pelayanan kanak-kanak AGBM dengan kerjasama AOG daerah Negeri Sabah. Konferensi ini telah dihadiri oleh kira-kira 24 buah gereja iaitu, 128 orang peserta dari gereja-gereja AOG, SIB, The Protestant Church, Word of Life, New Hope Mission dari pelbagai tempat khususnya daerah negeri Sabah. Pada mulanya sasaran peserta untuk yang hadir konferensi ini adalah hanya 80 orang tetapi yang mendaftar melebihi daripada itu.

Tujuan konferensi ini diadakan adalah untuk melatih dan melengkapi guru-guru agar memberikan impak kepada kanak-kanak bagi Kristus. Sesuai dengan tema konferensi "Mengajar untuk Transformasi", guru-guru diajar tentang dasar pelayanan kanak-kanak, keistimewaan dan pertumbuhan kanak-kanak, cabaran pelayanan kanak-kanak, persiapan mengajar, memimpin pujian & penyembahan sekolah minggu, kraftangan dan cara mengingat ayat-ayat hafalan. Tenaga pengajar yang terlibat adalah terdiri daripada semua komiti pelayanan kanak-kanak AGBM iaitu, Rev. Deborah Wan Moi Kim, Sis. Choo Mee Lin, Ps. Aliza Mesir, Ps. Isaura Marap dan Ps. Crystal Tan.

Sepanjang konferensi ini dijalankan, wakil-wakil dari setiap gereja memberi dan berkongsi pengalaman, cabaran yang dihadapi dan menyatakan keperluan mereka. Kami melihat bahawa mereka sangat haus dan dahagakan akan hadirat Tuhan untuk memberikan mereka kesegaran, meneguhkan panggilan mereka dan mendorong kembali semangat mereka dalam pelayanan ini. Walaupun kemudahan yang ada di tempat konferensi ini terhad, tidak menghalang untuk mereka duduk dengan setia mendengar setiap sesi pengajaran. Di mana mereka terpaksa duduk di lantai tanpa kerusi dan meja oleh kerana jumlah peserta yang agak ramai tetapi dewan hanya mampu menampung 100 orang. Oleh sebab itu meja dan kerusi harus dikeluarkan.

Kami berharap agar melalui konferensi seperti ini dapat mendedahkan kepada para guru betapa pentingnya kita membuat pengajaran yang boleh tranformasi kanak-kanak di gereja mereka. Konferensi yang julung kali diadakan ini adalah permulaan dan setiap sesi hanyalah dasar sahaja. Kami berharap pada masa akan datang akan dibuat dengan lebih mendalam dan terperinci lagi.

Terima kasih kepada semua guru-guru dan AJK yang terlibat dalam seminar ini. Selain itu, kepada Rev. Dr. Chan Nam Chen iaitu ketua AOG Daerah Negeri Sabah yang telah memberi sokongan sepenuhnya kepada konferensi ini. Tidak lupa juga kepada Ps. James Hilod yang telah merasmikan pembukaan konferensi ini bagi mewakili AOG Sabah, kepada Ps. Nancy Hilod yang telah meminjamkan PA System dan membantu di dalam bahagian pendaftaran serta penginapan dan akhir sekali kepada Ps. Methilda Joseph yang juga membantu di dalam publisiti. Semoga melalui konferensi ini, guru-guru yang telah hadir diberkati dan dapat mempraktikan apa yang telah dipelajari dengan lebih efektif ditempat masing-masing. "Apa yang telah engkau dengar dari padaku di depan banyak saksi, percayakanlah itu kepada orang-orang yang dapat dipercayai, yang juga cakap mengajar orang lain." - 2 Tim 2:2

Ditulis oleh,
Ps. Aliza Mesir.


















































Seminar Guru Besar Sekolah Minggu AGBM Jun 2016

Seminar guru-guru sekolah minggu telah diadakan pada 6 - 8 Jun 2016 bertempat di gereja Kajang AG. Seminar ini telah dihadiri oleh kira-kira 25 orang peserta dari pelbagai tempat, bukan sahaja dari Semenanjung tetapi juga dari Sabah, Sarawak dan Labuan.

Tujuan seminar ini diadakan adalah untuk mengajar guru-guru khususnya guru besar atau penyelaras pelayanan kanak-kanak di gereja untuk membuat perancangan atau rencana kurikulum pengajaran sekolah minggu dengan lebih sistematik untuk setahun dan mengikut peringkat umur. Seminar ini diajarkan oleh Cik Evelyn Tan Hwee Yong. Beliau telah berkecimpung dalam pelayanan kanak-kanak dan mahasiswa. Selain itu, beliau juga adalah penulis, penterjemah, pensyarah dan pengkhutbah.

Sepanjang seminar ini dijalankan, banyak idea-idea baru dan bakat-bakat terpendam terlihat pada diri setiap guru yang hadir. Ketika para peserta dibahagikan dalam kumpulan, mereka memberikan respon yang baik di mana mereka saling bekerjasama dan mempraktikkan apa yang telah mereka pelajari. Para perserta juga saling bertukar-tukar pendapat dan kreativiti. Selain itu dapat menerima kritikan dan komen untuk mereka pelajari dan perbaiki dengan lebih baik lagi.

Kami berharap melalui seminar seperti ini dapat mendedahkan kepada para guru betapa pentingnya membuat perancangan kurikulum pengajaran di pelayanan kanak-kanak di gereja mereka, yang sesuai dengan keperluan di gereja masing-masing, peringkat umur dan target masa untuk menghabiskan pelajaran itu. Di sini kita dapat melihat bahawa kebanyakan guru mengambil bahan pengajaran dari luar dan kadang-kadang tidak sesuai di gereja mereka. Bukan itu sahaja malah gaya bahasa yang digunakan juga tidak bersesuaian. Sebagai contoh kebanyakan buku-buku rujukan dan pengajaran diimport dari Indonesia. Apabila diajarkan, bahasa itu sukar difahami oleh kanak-kanak di mana kita menggunakan Bahasa Malaysia. Dengan itu, alangkah baiknya jika guru-guru khususnya guru besar atau penyelaras pelayanan kanak-kanak dapat membuat sendiri bahan pengajaran ini.

Terima kasih kepada semua guru-guru dan AJK yang terlibat dalam seminar ini, dan kepada pihak gereja Kajang AG yang telah menyediakan tempat dan ruang bagi seminar ini dan penginapan bagi para peserta. Semoga melalui seminar ini, guru-guru yang telah hadir diberkati dan dapat mempraktikkan apa yang telah dipelajari dengan lebih efektif di tempat masing-masing. "Rencana berhasil oleh pertimbangan; sebab itu, janganlah berjuang tanpa membuat rencana yang matang" - Amsal 20:18

Ditulis oleh,
Ps. Aliza Mesir.